Friday, February 27, 2009

 

Menambahramaikan Ham Bikers di Ipoh



































Motor Joi sedang dalam proses baik pulih





Semalam saya dikunjungi seorang rakan 9m tempatan. Tujuan semestinya berbincang tentang CBX. Rakan ni kali pertama bertemu, memang biker juga, tentulah cepat mesra. Satu kepala satu minat gitu. InsyaAllah hari sabtu ni akan melawat sebuah CBX yang diidamkan rakan tu. Harap-harap kali ni mejadi. Minggu lepas juga saya telah membawa seorang lagi rakan 9M melihat CBX yang sama, tapi mungkin belum jodoh. Kalau menjadi, bermakna akan ada 8 orang CBXers di Ipoh, 6 dpdnya rakan Ham. Setakat ini saya, 9W2TTR,  RNY, MPJ, Pak Ya, Zed dan InsyAllah minggu depan 9W2JOI. Selain tu satu lagi rakan akan saya perkenalkan pada CBX yang tersadai. Pelan-pelan kayuh, mungkin projek ni menjadi dan bertambah lagi rakan CBX kita. Memang penting kelab atau group kalau nak main motor ni. Kalau tidak, mati kutu berseorangan. Macam saya masa di Gerik awal tahun 2000 dulu. 5 tahun motor dikelilingi pokok bunga, jadi perhiasan 
Minggu depan kami akan ke Pendang untuk mengambil motor JOI. Harap telah disiapkan oleh cikgu Ishak (juga rakan Ham baru lulus RAE).  Joi  dah lama menanti saat untuk berdesup dengan CBXnya. jaket cordura dah beli, seluar pun cordura, but dah ada, helmet dah ada,tapi banyaklak cengkadaknya motor ni. Dah 2-3 bulan tak habis-habis masalahnya. Hari tu, compressionnya kurang sikit. Dah ditukar blok dan piston lain. Ok rasanya. Saya dah test ride, memang enjin licin, tapi Ishak kata ada asap, mungkin piston ring. Jadi kena tunggu lagi. Apapun harapan dapat berkonvoi ke Pendang minggu depan. 

Thursday, February 26, 2009

 

Fikir Dulu Sebelum Order

Hari ini saya ke bengkel untuk mengambil semula motor yang telah hampir sebulan di sana. Selepas balik dari trip ke Frasser Hill tempoh hari, kaburetornya perlu ditala semula kerana enjin tidak licin semasa melahu. Lepas tu didapati minyak bocor dengan lebih teruk. Bocor ni biasalah pada CBX. Maklumlah dah 20 tahun punya motor. Pesanan daripada rakan-rakan CBX dan mekanik PDRM, kena jaga oil sump punya skru. Saya pun tengok di bawah dan dapati ada satu skru hampir tercabut. Saya cuba ketatkan. Ayoyo, apa sudah jadi ?, minyak keluar menderu-deru. Satu hari hampir suku liter. Selepas seminggu satu liter minyak enjin yang ditadah. Saya pun hantar kepada mekanik geng CBX di Ipoh iaitu Duamotor di Taman Harilela. (Rupanya mereka berdua ni anak saudari 9M2SB dan 9M2DS) Selepas dua minggu baru beres. Ganti juga suis brek depan yang dah patah. Kelebihan mekanik Duamotor ni, dia pandai cari barang. Suis CBX ori kalu siaplah. 5-6 puluh. Tapi dia tukar suis RG saja. RM9.00. Selamat sikit duit gua. Tempoh hari, semasa piston Clutch Master Pump   bocor, nak tukar, tanya Chuar Motor 150, Sunny pun sama. Tanya dengan Faizul, dia cari dan cari dan cari,  rupanya sama dengan piston master pump Lori Hino. RM20 saja. Jadi kesimpulannya, jangan terus cari ori. Kadang-kadang yang lain pun sama juga produknya. Cuma label Honda yang membuatnya membocorkan poket

Wednesday, February 25, 2009

 

Menanti Ketibaan Spectra dan Saber







Selepas menunggu berbulan-bulan, pada hujung minggu ini, Handy Motorola Saber dan Sebuah Rig Spectra yang saya beli di ebay US akan tiba dibawa oleh adik bongsu saya yang bekerja di California. Spectra itu dibeli dengan harapan hendak dipasangkan pada CBX750 saya. Namun untuk memasangnya memerlukan beberapa asesori tambahan. Kabel akhirnya berjaya saya beli di Washington juga melalui ebay. Remote control mounting setelah beberapa kali dicari dan dibid berjaya diperoleh di Itali. Kedua-dua barang tersebut sampai serentak di Sekolah Minggu lalu. Sebelum itu, adik saya telah mengirimkan speaker HSN6003B dan mic motorola yang memang khas dibuat untuk digunakan pada motorsikal kerana kedua-duanya waterproff.

Kini masalah berikutnya ialah programming. Saya sedang menanti dengan penuh debaran sama ada kedua-dua radio itu dapat diprogram atau tidak memandangkan kedua-duanya memang sudah lama dan sudahpun diberhentikan pengeluarannya oleh motorola sejak 2002

Labels:


Tuesday, February 24, 2009

 

HOBI NOMBOR SATU

Inilah hobi utama saya iaitu bermotorsikal. Saya mula mengenali motorsikal sejak 1984 apabila mula bertugas sebagai pendidik di Pulau Lagenda Langkawi. Motorsikal pertama saya ialah Yamaha Y80 atau masa itu lebih dikenali dengan Yamaha CDI.  Dibeli dengan harga tunai (selepas main kutu dengan rakan setugas pada harga RM1,640.00, Motor bernombor pendaftaran KS1112 (atau Kasim selamat - kata rakan baik saya di Kampus dulu Mohd Fadzil Ismail), menjadi milik saya semasa bujang dan setelah berkahwin. Apabila melanjutkan pelajaran ke UM pada 26 Jun 1987 motor itu dibawa bersama. Pada hari pertama saya ke UM, saya sudah tergolek di simpang Lembah Pantai. (sekarang dah jadi flyover). 
Selepas 2 tahun, mula gatal tangan kerana dibakar (istilah 80an diayat) oleh Fadzil yang menunggang RXZ, plate NX rasanya. Lalu CDI tu ditukar (trade In) dgn RXZ janda WBD3293. Masa tu masuk ke U, gaji separuh, dah berkahwin, tapi minat punya pasal, saya sanggup bersengkang mata malam-malam memberi tuisyen. Janji boleh main motor.  Pada tahun 89 tukar dengan GSXR400 yang dibeli dari seorang Komando. WBM2859. Masa tu saya mula campur geng motor besar di Daya Bumi. Setiap hari lepas kuliah, mesti lepak ka Daya. Tukang tunggu Edi Katana yg famous dgn warna kuningnya. Kalau pembaca pernah tengok Cerita Pelumba Malam, pasti ada motor Edi tu di samping motor geng katana lain. Motor saya pun ada masa scene lumba kat Jalan keretapi Taman Maluri (Kat Jusco sekarang- LRT STAR) Hanya sempat bertahan setahun dah diayat oleh member tukar pakai Katana 750 GSX-S atau lebih dikenali di kalangan mat Motor (dulu mana ada istilah mat Rempit) sebagai katana Savana. Motor bernombor SA8038H itu dibeli daripada Inspektor Shahidan, PO melaka Tengah pada masa tu. Dia bawa balik dari sabah. Lama saya pakai motor ni sehingga berpindah ke Perak pada januari 2000. Di samping itu saya juga membeli secara tender Kawasaki Vulacan 800 WEE6073 (milik Rusdi Suparman) pada awal 1998. 
Bila dihantar bertugas ke SMT Gerik kedua-dua motor ni terbiar tak berjalan selama lima tahun. Di kelilingi Pokok bunga hinggalah kami sekeluarga berpindah balik ke Ipoh pada januari 2005. Pada awal 2006 seorang rakan lama masa di KL menelefon setiap hari merengek-rengek nak membeli Katana saya. Saya memang berat hari nak menjualkannya kerana telah lebih 18 tahun memilikinya. Saya sudah berjanji dengan anak saya Akmal (9W2AKC) apabila dia memasuki Universiti motor itu akan saya berikan padanya. Saya memang sayang pada motor tu. Lagipun bentuknya yang evergreen dan klasik tu memang sukar ditandingi. Tapi memandang masa tu saya tidak berkawan dengan mana-mana geng motor, saya mengalah, tetapi memintanya mencari CBX 750 untuk ditukarnya secara langsung. Saya memberinya masa 3 bulan. Tapi, dalam masa sebulan saja dia berjaya mendapatkan CBX750  WBT4983 ini. Sejak itu saya kekal dengan CBX ni. Geng pun dah ramai, sama ada di Ipoh mahupun di Malaysia. 

 

Salam Perkenalan

Salam perkenalan di ruang siber diucapkan kepada anda para pengunjung. Blog ini sebagai percubaan saya untuk turut berkongsi sama pengalaman, minat dan pandangan saya dalam hal-hal yang berkaitan dengan peribadi saya. Saya akui sebenarnya kurang berminat dalam bidang penulisan ini walaupun bidang pengajian dan tugas saya sangat berkait rapat dengan bahasa khususnya Bahasa Melayu. Seringkali diary atau catatan harian terbiar saban tahun tanpa diisi. Inikan pula blog yang perlu dikemaskinikan. Saya kira saya akan memberanikan diri untuk berkongsi pendapat dalam hal-hal yang sangat berkait rapat dengan saya. Tiga hal itu ialah minat utama saya iaitu bermotorsikal, radio amatur dan bidang pendidikan sebagai karier saya.

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]