Tuesday, October 27, 2015

 
Catatan Nostalgia 2
Bila nak raya 40 tahun dulu, mak yang paling sibuk. Pagi menoreh getah. Petang jahit baju raya kami adik beradik guna mesin jahit Singernya yang setia. Masak pula juadah berbuka. Mesti ada kuih, badak berendam? puteri mandi?, tepung talam? seri muka? buah melaka? kacang aja. Mesti ada satu lagi bubur ka, mi, laksa serawa ka. You name it she can cook it. No problem. Talk about multi tasking- she done that long before us. Kuih raya semua mak buat sendiri , putu kacang, ( kacang ditumbuk dengan tangan atau lesung kaki), kemudian ditempa dengan acuan,bila dah siap, jemur dalam talam tengah panas ditutup selendang opah. Bila mak buat kuih bahulu- kenalah pukul telur dengan tangan (hahahaha -seksanya siapa kena giliran tolong mak selalunya bertolak tolak dengan abang Rozaini dan kakak Roslina ) dan lepas tu dimasak pakai oven orang kampung, (tin minyak tanah yg dibelah dua- bahagian bawah diisi pasir -kreatifnya orang zaman dulu - letak zink dan sabut di sebelah atas,) kuih bangkit / bakar, kuih makmur, kuih sepit bakar pakai tempurung. Kegemaran saya biskut Arab/kuih makmur yg dimasak dengan penuh kasih sayang ibu takkan dapat menandingi rasa sejuta kuih lain.
Zaman tu susah. Nak dapat lauk raya, Petang sebelum raya bapa pergi ke hutan berburu ayam hutan. Dapatlah 3, 4 ekor buat rendang. Hari hari biasa jangan mimpilah nak makan ayam atau daging macam sekarang. Kalau ada rezeki lebih, dapatlah beli daging masak bersamah. Specialnya resipi tu, sampai hari ini saya belum pernah jumpa lagi rumah org lain yg ada masakan daging bersamah semasa raya.
Bila saudara mara yg berada datang bawa sebekas kuih moden - semperit, biskut jawa tin, biskut kacang itulah baru kami adik beradik merasa.
Kini mak pun dah tak larat. Masakan pun tak jadi macam dulu, katanya. Zaman ini semua main beli, pakai order, nilai tradisi, roh hari raya tu dah semakin pupus. Anak anak hari ni jangan kata makan, dengar nama kuih bangkit, kuih bahulu, pun tak pernah. Mengacau dodol sampai lapan jam jangan harapla. . Kuih raya sekarang pun rasanya sama, bahannya sama, nama aja glamer, Almond London, I tell you, tapi buat nu ceruk kat Tok Kun, harga pulak tu mahal nak mampus. Tak kuasa aku. I stick with my mom's bahulu and kuih makmur, thank you.


Friday, October 9, 2015

 
Catatan Nostalgia.1

Dua hari sebelum Raya Haji tahun 1987, masa tu saya baru berkahwin beberapa bulan dan sedang cuti belajar di UM. Kami menumpang di rumah kakak saya di Taman maju Jaya Cheras. Kakak Roslina dan abang Di dah balik beraya ke Besut. Malam tu, saya menghantar isteri ke PuduRaya utk balik ke kampung sebab dia asyik menangis teringat kampungnya di Langkawi. Maklumlah umurnya baru 19 tahun dan kali pertama berpisah dgn keluarga dan tak dapat beraya bersama-sama. Saya hanya sehari tak ada kuliah dan bercadang nak balik sendirian esok paginya ke Chemor. Selepas menghantarnya dan bas ekspres bergerak saya pun balik ke Cheras. Pukul 2 pagi lebih kurang saya terkejut daripada tidur apabila sebuah kereta peronda Polis membunyikan siren depan rumah. Apa hal pulak?. Takkan kena serbu polis kut? Seorang anggota keluar dan bertanya saya, "Ini adik encik ke?" Saya keluar tengok isteri saya dalam kereta. Terpinga-pinga saya tak tau nak jawab apa. Dah la tengah mengantuk. Saya pun mengangguk aja. "Dia sesat di Rawang" kata polis tu. Bila dah masuk ke rumah saya pun bertanya "Awatnya?" Isteri saya kata " Pah rindu kat abang!" Hahahaha. Kesian isteriku. Rupa-rupanya dia menangis tak henti-henti dalam bas sebaik saja bertolak dari PuduRaya sampai kakak penumpang di sebelahnya hairan. Tiba di Rawang dia dapat idea minta driver berhenti depan balai Polis Rawang dan turun berjumpa anggota bertugas. Pandai pula mengadu pada polis kata dia sesat dan tersilap turun bas. Polis tu tengok Awek cun menangis terus percaya dan minta sebuah patrol car hantar dia balik rumah 'abang' di Cheras. Kesimpulannya kalau sesat nak balik cari polis Hehehe. Apapun esoknya kami balik menaiki bas (zaman tu cikgu Maktab mana mampu beli kereta- dah la gaji separuh sebab cuti belajar) ke Chemor. Lepas Raya Haji barulah dia balik ke Langkawi menaiki bas dari Medan Kidd Ipoh. Kali ni saya dah pesan siap-siap. Jangan turun mengadu kat polis lagi!

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]