Monday, March 2, 2009

 

Jejak Kasih

Semenjak saya melibatkan diri menjadi ahli Ham, saya telah bertemu kembali dengan beberapa orang rakan yang telah terputus hubungan sejak sekian lama. Antaranya9W2JML dan beberapa orang SWL yang sama-sama berkhidmat di SM Mahsuri Pulau Langkawi 1984-1987 dulu. Baru-baru ini saya bertemu dengan seorang rakan sekolah di SM Aminudin Baki dan SRC Ipoh yang telah 30 tahun terpisah. Walaupun dia berasal dari Chemor juga, saya dan 9W2TTR (Zailani) yang sama-sama sekelas tak pernah berjumpa dengannya. Yang kami tahu beliau menjadi anggota polis sebaik saja tamat sekolah. Tak disangka baru-baru ini kami bertemu dengannya. Rupa-rupanya selama ini, saya telah berkawan baik dengan abangnya yang paling tua yang kebetulan berniaga di kejiranan kami. Tak sangka masa begitu cepat berlalu. Kami bertiga berbual panjang di Belakang Parang ( kat Klebang Restu) sampai pukul 3.00 pagi. Ketawa berdekah-dekah bila mengenang kembali kenalan masa remaja di Raja Chulan. Teriangat warden yang diberi pelbagai gelaran. Peristiwa pahit manis. Walaupun mungkin ada kesalan tentang masa lampau yang mungkin dibazirkan namun, kami menerima hakikat masa itu takkan kembali lagi. Ramai juga kenalan di SRC yang telah pergi mendahului kami, malangnya dalam kebanyakkan kes kerana musuh nombor satu dunia. Namun, kami bersyukur masih berpeluang untuk meneruskan persahabatan lama ini. Kami berazam untuk mencari kembali rakan lama.
Seorang lagi rakan yang baru saya temui ialah Mohd Fadzil Ismail. Inilah rakan paling baik saya masa di UM 1987-90. Kami sama-sama gila motor dan sanggup mengikat perut kerana nak main dua dapur (Istilah mat Motor 80an). Dari RXZ, Dia bertukar ke YPVS 250 dan kemudian RG250. Hampir sepuluh tahun tak berjumpa, baru-baru ini kami dapat bertemu kembali apabila dia mendapat nombor Hp saya daripada rakan serumahnya di Flat Ang Seng (Yang penuh seribu kenangan semasa di UM). Sudah lama saya cuba menjejakinya, tapi tak berjaya. Yang saya dengar dia telah berhenti daripada perkhidmatan sebagai guru. Akhirnya , kami dapat berjumpa di Hotel Casaurina bulan Januari lalu.  Rupa-rupanya Fadzil sudah menjadi usahawan berjaya. Mercedesnya pun sudah 3-4 buah. Alhamdulillah, amat gembira melihat rakan berjaya. Saya tahu dia seorang yang rajin dan bercita-cita tinggi sejak di U lagi. Kini terbukti usahanya membuahkan hasil walaupun pelbagai rintangan dihadapinya untuk berjaya. Mungkin lepas ini, dia akan kembali menunggang. Tapi bukannya CBX!!! Agaknya K6 atau R1!!!
Sesungguhnya, kehidupan kita tak lengkap tanpa rakan baik. Mungkin kita ada keluarga dan jiran, namun rakan baik sukar dicari. Selalunya rakan begini memang sejiwa atau sekepala dengan kita. Namun kini dengan teknologi moden, hubungan yang terputus dapat disambung semula.

Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]