Sunday, May 16, 2010

 

Selamat Hari Guru

BERBURU ke padang datar
Dapat rusa belang kaki
Berguru kepala ajar
Ibarat bunga kembang tak jadi (dedikasi kepada Hari Guru dan guruku tercinta)

Dialah pemberi paling setia
Tiap akar ilmu miliknya
Pelita dan lampu segala
Untuk manusia sebelum jadi dewasa

Dialah ibu dialah bapa juga sahabat
Alur kesetiaan mengalirkan nasihat
Pemimpin yang ditauliahkan segala umat
Seribu tahun katanya menjadi hikmat

Jika hari ini seorang Perdana Menteri berkuasa
Jika hari ini seorang Raja menaiki takhta
Jika hari ini seorang Presiden sebuah negara
Jika hari ini seorang ulama yang mulia
Jika hari ini seorang peguam menang bicara
Jika hari ini seorang penulis terkemuka
Jika hari ini siapa sahaja menjadi dewasa;

Sejarahnya dimulakan oleh seorang guru biasa
Dengan lembut sabarnya mengajar tulis-baca

Di mana-mana dia berdiri di muka muridnya
Di sebuah sekolah mewah di Ibu Kota
Di bangunan tua sekolah Hulu Terengganu
Dia adalah guru mewakili seribu buku;

Semakin terpencil duduknya di ceruk desa
Semakin bererti tugasnya kepada negara

Jadilah apa pun pada akhir kehidupanmu, guruku
Budi yang diapungkan di dulangi ilmu
Panggilan keramat "cikgu" kekal terpahat
Menjadi kenangan ke akhir hayat.

USMAN AWANG 1979

Selamat Hari Guru dan ribuan terima kasih tak terhingga saya ucapkan kepada semua guru saya yang memperkenalkan saya menulis dan membaca sejak 1969-1974 di SK ulu Kuang, SABC Chemor1975-77, SRC Ipoh78-79,MPKB Kelantan 1981-1983 Universiti Malaya 87-90 dan IAB 04-05. Jasa cikgu semua kukenang ke akhir hayat.

Juga tidak lupa semua guru yang telah dan sedang mendidik anak-anak saya hingga menjadi manusia di SK Jalan Raja Muda Musa Kg Baru KL, SK Hj Mahmud Chemor, SK Batu 4 Gerik, SMK Bt 4 Gerik, SMK Aminudin Baki, Chemor, MRSM Gerik, MRSM Transkrian, MRSM Balik Pulau, UiTM Kuantan dan Shah ALam dan UTM Skudai. Jasa dan pengorbanan anda semua hanya Allah yang dapat membalasnya.

Buat semua rakan setugas di MPKB 81-83 Sek Mahsuri Pulau Langkawi 1984-1987, MBS KL `1990-1999, SM Teknik Gerik 2000-2004 SMJK Poi Lam Ipoh 2005-2009 dan SMK Dato Hj Mohd Taib Chemor, Selamat Hari Guru, teruskan usaha murni anda semua walau apa pun yang terpaksa dilalui.



Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]





<< Home

This page is powered by Blogger. Isn't yours?

Subscribe to Posts [Atom]